Blog Widget by LinkWithin

Gempa Lebih Dahsyat Diramal Berlaku

Posted by ﻨﺠﺠﻪ ﻴوﺴوﻑ | 9:24 AM | 0 comments »




JAKARTA 5 Okt. - Ketika Sumatera Barat masih berduka dilanda gempa bumi 7.6 skala Richter (SR) yang mengorbankan lebih 600 orang dan ratusan lain hilang setakat tengah hari ini, Indonesia dikejutkan dengan kemungkinan gempa lebih besar melebihi 8.0 SR akan berlaku.

Biarpun pakar-pakar membuat ulasan, baik di akhbar mahupun televisyen, mengakui tidak ada siapapun mahupun teknologi yang dapat meramalkan tarikh tepatnya, namun mereka berpendapat gempa itu akan lebih dahsyat seperti tsunami pada Disember 2004, yang mengorbankan lebih 200,000 orang di beberapa negara.

Pakar geologi dari Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), Danny Hilman Natawidjaja berkata, tekanan telah membentuk garis tekanan di sekitar wilayah Padang selama rangkaian gempa dalam beberapa tahun terakhir.
''Gempa berukuran 7.6 SR pada 5.16 petang Rabu lepas yang menggoncang Padang bukan termasuk 'skala besar'. Itu bukan gempa yang sering kita perbincangkan bakal terjadi, yakni gempa dahsyat lebih dari 8 SR yang memicu tsunami,'' katanya dalam kenyataan LIPI.

Danny dalam penyelidikannya di luar pantai Sumatera selama 12 tahun bersama rakan penyelidiknya, Prof. Kerry Sieh dari Nanyang Technology University (NTU), Singapura, yakin bahawa akumulasi tekanan dapat mengakibatkan gempa 8.8 SR dan kekuatan gempa itu adalah kira-kira 30 kali lebih besar berbanding gempa Rabu lepas.

''Secara ilmiah, saya boleh katakan, gempa yang dahsyat itu mungkin berlaku esok, lusa, bulan depan, atau mungkin tahun depan. Paling tidak, itu akan terjadi dalam 10 tahun akan datang.

''Secara peribadi, saya khuatir jika gempa tersebut terjadi dalam beberapa bulan atau tahun akan datang. Tapi, sebagai ilmuwan, kami sering terkejut oleh fenomena alam,'' tambahnya.

Pada 2004, gempa berkekuatan 9.15 SR yang berpusat sekitar 600km ke utara Padang memicu gelombang tsunami mengakibat lebih 200,000 orang terkorban di negara-negara pesisir Lautan Hindi, dengan yang paling teruk ialah di Aceh, Indonesia.

Danny berkata, gempa berkekuatan 8.8 SR akan mengakibatkan gelombang tsunami setinggi 4 hingga 10 meter melanda Padang yang mempunyai penduduk kira-kira 4.4 juta orang dan telah mengalami beberapa kali gempa berskala besar sejak kebelakangan ini. -bernama-

0 comments

Post a Comment